Willian berharap rakan senegaranya dari Brazil, David Luiz, akan kekal dengan Chelsea walaupun kontrak pemain pertahanan itu sudah hampir tamat.

Luiz mendapatkan kembali tempatnya dalam kesebelasan utama Chelsea musim ini di bawah kendalian Maurizio Sarri.

Dia hanya beraksi dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris di bawah Antonio Conte, musim lalu.

Bekas pertahanan Paris Saint-Germain (PSG) itu hanya mempunyai baki kontrak enam bulan dengan The Blues dan sudah boleh mula berkira-kira mencari pasukan baru musim depan.

Sarri sudah menyatakan hasratnya untuk mengekalkan Luiz, namun pada usia 31 tahun, pemain kebangsaan Brazil itu mungkin hanya akan ditawarkan kontrak selama setahun berdasarkan polisi had umur pasukan itu.

Bagaimanapun, Willian yakin rakannya itu akan mengikat kontrak baru bersama Chelsea.

"Sudah tentu saya mahukan dia kekal di sini.

"Namun, saya perlu menunggu sama ada pasukan kami mahu mengekalkannya atau tidak.

"Saya berasakan kelab ini mahu mengekalkan khidmatnya seperti saya," katanya.

Kontrak Willian akan tamat pada penghujung 2020 dan terdapat laporan menyatakan kontrak itu akan dilanjutkan untuk tempoh yang lebih lama.

Namun, pemain tengah itu tidak berasa gusar dan enggan terburu-buru merancang perjalanan masa depan kariernya.

"Saya baik sahaja setakat ini, tidak perlu tergesa-gesa tentang itu.

"Mungkin kita boleh berbincang tentang perkara itu pada masa depan," tambahnya.