Willian meledak hatrik dalam separuh masa pertama sambil Michy Batshuayi dan Loic Remy masing-masing menyumbang gol berganda untuk Chelsea memulakan pra-musim dengan membelasah kelab Liga Kejuaraan, Fulham, 8-2 semalam.

Chelsea sudah pun mendahului 5-1 ketika waktu rehat, dengan Antonio Conte menamakan barisan terkuatnya dalam separuh masa pertama dalam perlawanan persahabatan yang disaksikan pembelian terbaru bernilai £40 juta (RM224 juta), Tiemoue Bakayoko, di padang latihan kelab itu di Cobham.

Separuh masa kedua menampilkan aksi lebih seimbang ketika Fulham menyaingi kesebelasan Chelsea yang lebih muda tetapi keputusan akhir perlawanan membayangkan juara Liga Perdana Inggeris itu kekal sebagai pasukan yang harus ditundukkan.

Chelsea seterusnya akan berdepan Arsenal di Beijing, Sabtu depan, sebagai ulangan kepada final Piala FA musim lalu yang dimenangi The Gunners 2-1.

Gary Cahill terlebih dahulu menggegarkan palang apabila Chelsea mendahului menerusi Willian, yang menyumbat gol pertamanya hasil lorongan Batshuayi.

Pendahuluan mereka digandakan hasil kombinasi yang sama, dengan Willian sekali lagi memanfaatkan umpanan Batshuayi sebelum gol sendiri Cesar Azpilicueta mengembalikan pasukan pelawat ke dalam saingan.

Fulham mengancam untuk menyamakan kedudukan tetapi Chelsea melebarkan pendahuluan dengan dua gol berturut-turut Batshuayi, yang menewaskan penjaga gol, David Button, dengan penyudahan cemerlang dan kemudian menyempurnakan hantaran lambung Cesc Fabregas.

Willian melengkapkan hatriknya sejurus sebelum rehat dan Conte seterusnya membuat 10 pertukaran ketika rehat dengan hanya mengekalkan David Luiz.

Sepakan penalti Stefan Johansen merapatkan seketika kedudukan tetapi gol-gol Remy dan Azpilicueta menerusi sepakan penalti menyerlahkan pasukan mana yang lebih menguasai perlawanan.

Remy menambah gol keduanya dengan satu lagi sepakan penalti untuk melengkapkan apa yang dilihat sebagai satu ujian mudah buat skuad bimbingan Conte.