Pemain sayap Chelsea, Willian, mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas surat yang "dipalsukan" mengenai tuntutannya untuk menukar ejen.

Semalam, pemain antarabangsa Brazil itu berkongsi dokumen itu di Instagram dengan satu kenyataan yang mengutuk kesahihannya.

Kandungan surat itu yang berlegar dalam pasaran bola sepak mendakwa Willian berhasrat menukar ejennya pada 15 Ogos ini.

Dokumen itu timbul di celah-celah spekulasi yang mengaitkan Real Madrid dan Manchester United dalam pemburuan pemain berusia 29 tahun tersebut.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah menandatangani surat itu, saya menafikan kandungannya," tulis Willian di Instagram.

"Terdapat bukti yang jelas bahawa tandatangan saya telah dipalsukan atau juga disalahgunakan. Dengan ini, saya ingin memberitahu bahawa peguam saya sudah diarahkan untuk menguruskan semua langkah undang-undang yang bersesuaian sebelum membawa perkara ini ke mahkamah atau pihak berkuasa.

"Saya harap saya telah menjelaskan perkara ini dan sebarang salah faham yang mungkin berlaku."