Georginio Wijnaldum mendedahkan peranan Jurgen Klopp sebagai pengendali di Anfield meyakinkannya untuk menyertai Liverpool walaupun menerima tawaran daripada Tottenham.

Pemain kebangsaan Belanda itu telah bertemu Mauricio Pochettino dan Klopp sebelum musim 2016-17 bermula, dengan dia berhijrah meninggalkan Newcastle dan memilih untuk beraksi di Anfield.

"Saya telah bertemu dengan Pochettino dan Klopp tetapi dalam pertemuan dengan Klopp, kami banyak ketawa dan tidak bercakap mengenai bola sepak," kata Wijnaldum kepada The Guardian.

"Dia berminat dengan kehidupan peribadi saya dan ia adalah satu perkara yang baik buat saya. Dia bukan hanya berminat dengan Wijnaldum sebagai pemain bola sepak tetapi Wijnaldum sebagai seorang individu.

"Saya memulakan musim ini dengan baik dan saya menyedari Liverpool mahu mendapatkan khidmat saya.

"Saya berlatih dengan seorang jurulatih yang baik dan cuba untuk membantu pasukan, malah meningkatkan mutu permainan saya."

Klopp telah membantu pasukan untuk menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 12 perlawanan dan Wijnaldum memuji gaya pengendali kelahiran Jerman itu yang penuh bersemangat.

"Pengurus memberikan keyakinan kepada anda. Beliau bukan seorang pengurus yang menjerit atau memarahi kamu ketika kamu melakukan kesilapan.

"Beliau akan menjadi berang jika kamu gagal mempamerkan aksi yang terbaik, sebagai contoh, Sadio Mane dan Philippe Coutinho merupakan pemain yang mahir menggelecek bola, jika mereka berhenti melakukannya, beliau mungkin akan memarahi mereka.

"Ketika bertemu Southampton, Klopp mahu saya melakukan larian. Saya telah melakukannya tetapi ia sudah terlewat untuk mencipta kemenangan."

Liverpool akan menerima kunjungan Sunderland dalam aksi EPL malam ini.