Persatuan Bolasepak England (FA) memberikan hukuman denda kepada Wigan Athletic susulan kegagalan kelab menghalang penyokong daripada memasuki padang ketika aksi Piala FA berdepan Manchester City.

Peminat-peminat Wigan menyerbu ke padang sebaik sahaja jaringan Will Griggs memberikan kemenangan buat Wigan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, bulan lalu.

Situasi itu membuatkan Sergio Aguero berbalah dengan seorang peminat, namun penyerang Argentina itu tidak dikenakan sebarang hukuman.

Dalam masa sama, kedua-dua pasukan didenda kerana gagal mengawal pemain masing-masing ketika insiden terjahan keras Fabian Delph terhadap Max Power sehingga menyaksikan bekas pemain Aston Villa itu dibuang padang.

"Wigan Athletic telah diberikan hukuman denda kerana gagal menghalang penyokong-penyokong masuk ke padang tanpa kebenaran ketika aksi Piala FA menentang Manchester City pada 19 Februari lalu.

"Pihak kelab diberikan sehingga jam 6.00 petang waktu England pada 9 April untuk memberikan maklum balas terhadap hukuman itu," kata kenyataan wakil FA.

Selepas menyingkirkan City untuk mengesahkan tempat ke suku akhir, Wigan gagal meneruskan cabaran selepas tewas di tangan Southampton.