WEST HAM 1 CHELSEA 0

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, kehilangan tiga mata selepas tumbang dengan jaringan tunggal Marko Arnautovic untuk West Ham menang dalam pertembungan 'derby' London, sebentar tadi.


Gol pada minit ke-6 di Stadium London itu sudah cukup membuatkan pengurus, David Moyes, tersenyum lebar untuk meraih kemenangan sulung di bawah kendaliannya sejak dilantik pada bulan lepas, sekaligus menamatkan kemarau kemenangan skuad itu dalam lapan perlawanan liga.

Moyes mengambil langkah berani apabila menggugurkan penjaga gol England, Joe Hart, sebaliknya mengekalkan peranan Adrian sejak pemain dari Sepanyol itu beraksi bertemu Manchester City, minggu lalu.

West Ham turun dengan semangat luar biasa dan aksi garang mereka pada separuh masa pertama menyaksikan Arnautovic merakamkan gol cantik -- jaringan pertamanya untuk kelab itu. Begitupun, The Hammers dipaksa lebih kerap berkampung di kawasan sendiri bagi kelebihan gol itu.

Berdepan dengan situasi semakin mencemaskan, The Blues melakukan asakan bertali arus namun masih gagal untuk mengelak kekalahan dan kini 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City.