West Ham telah melengkapkan pembelian pertahanan Southampton, Jose Fonte, dengan yuran perpindahan GBP8 juta (RM44 juta).

Fonte telah pun menyuarakan hasratnya untuk keluar dari St. Mary selepas membuat permintaan untuk berhijrah awal bulan ini, dengan West Ham menjadi destinasi utama pemain itu.

The Hammers kini mengesahkan bahawa Fonte, yang menjuarai Euro 2016 bersama Portugal tahun lalu, telah menandatangani kontrak selama dua setengah tahun di Stadium London.

"Saya menyertai West Ham kerana mereka sebuah kelab yang besar. Mereka memiliki penyokong yang cukup bersemangat," katanya dalam laman sesawang rasmi West Ham.

"Pengurus (Slaven Bilic) turut memainkan peranan besar dalam penyertaan saya di West Ham. Dia sememangnya memerlukan khidmat saya.

"Sebahagian besar daripada keluarga saya menetap di London dan mereka juga peminat West Ham. Memang masuk akal untuk saya berhijrah ke London, terutama di peringkat ini dalam karier saya. Saya tidak sabar untuk memulakan cabaran terbaru ini.

"Melihat kepada perjalanan kelab setakat ini, kami akan memberi cabaran kepada kelompok lapan teratas."

Fonte menyertai Southampton pada tahun 2010 dan pemain berusia 33 tahun itu berjaya beraksi di peringkat antarabangsa pada tahun 2014.