Pengerusi Liverpool, Tom Werner, menyangkal dakwaan bahawa konsortium yang dimiliki Amanda Staveley telah mengemukakan tawaran bernilai GBP1.5 bilion (RM8.3 bilion) untuk mengambil-alih pasukan itu.

Spekulasi itu menular di Dubai selepas pemilik Liverpool, Fenway Sports Group, membuat keputusan untuk menolak bidaan pemilikan.

Bagaimanapun, Werner pantas menafikan perkara tersebut sambil menjelaskan tawaran itu hanya tawaran palsu walaupun terdapat gambar Staveley ketika Liverpool menentang Newcastle United pada 1 Oktober lalu.

"Kami mempunyai perkara yang lebih utama berbanding perbincangan bersama Cik Staveley.

"Ia tidak benar," kata Werner.

Staveley diramal bakal melakukan perubahan buat The Magpies setelah pemilik pasukan, Mike Ashley, secara rasmi meletakkan skuad dalam senarai jualan pada awal bulan ini, sebaik sahaja usaha untuk ke Liverpool dilihat mustahil.

Bekas penjaga gol Newcastle, Shay Given, percaya anak-anak buah Rafael Benitez mampu muncul sebagai kuasa global jika mendapat pengurusan yang tepat, sama seperti apa yang berlaku terhadap Manchester City.

"Pasukan seperti Newcastle, jika mereka meraih bantuan kewangan yang lengkap, mereka boleh ke mana-mana sahaja.

"Newcastle memiliki stadium dan kelompok peminat tetap. Saya tidak begitu mengenali Amanda Staveley tetapi dia mempunyai keluarga di kawasan sekitar. Sekiranya dia mengambil-alih pasukan, sudah pasti Newcastle mampu keluar sebesar City.

"Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Sheikh Mansour selepas menjadi pemilik utama Citizens. Mereka bermula dari bawah dan kini berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL)," katanya lagi.