Arsene Wenger yakin Arsenal mampu mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pemain bintang, Alexis Sanchez, kekal di Emirates.

Pemain antarabangsa Chile itu masih belum menandatangani kontrak pembaharuan meskipun kontraknya berbaki 18 bulan, sekaligus dikaitkan dengan perpindahan.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mempamerkan rasa tidak puas hati ketika Arsenal terikat 3-3 dengan Bournemouth, Selasa lalu.

Namun, Wenger, yang turut perlu memastikan perancang utama, Mesut Ozil, menandatangani kontrak baru, menegaskan Sanchez kekal komited dengan kelab itu.

"Segalanya bermula dengan wang, dan akan berakhir dengan wang. Di antara kedua-dua perkara ini, pemain akan berfikir sama ada untuk kekal atau tidak," pengendali Arsenal itu memberitahu beIN Sports.

"Apabila seseorang pemain itu mahu kekal, tidak sukar untuk mencapai persetujuan. Saya yakin kami mampu mencapai persetujuan itu.

"Tidak kira apa yang akan berlaku, kami akan memastikan mereka kekal bersama kami. Itulah caranya untuk mengendalikan sebuah pasukan.

"Alexis Sanchez adalah seorang pemain yang cukup komited. Saya yakin kami akan mencapai kata putus yang positif.

"Kami tidak takut untuk berbelanja besar, dan kami juga tidak gentar untuk menunjukkan sayang kami kepada pemain. Kami mahu mereka mendapat bayaran yang tinggi tetapi pada masa sama perlu mengikut garis panduan ditetapkan."