Arsene Wenger tidak akan terlibat dalam sebarang keputusan untuk mendapatkan penggantinya sebagai pengurus Arsenal.

Tempoh 22 tahun Wenger bersama The Gunners hanya berbaki tiga perlawanan dan Arsenal tidak memberikan sebarang petanda mengenai nama yang berpotensi untuk menggantikannya.

Bekas kapten, Patrick Vieira, dan pengendali Celtic, Brendan Rodgers, telah dikaitkan dengan kerusi panas itu dan Wenger menjelaskan dia tidak akan menyuarakan sebarang pendapat mengenai pemilihan pengurus baru.

“Saya tidak terlibat dan ia bukan urusan saya. Tugas saya adalah memastikan prestasi terbaik pasukan dan bukan mencari pengganti,” kata Wenger.

“Jika ada seseorang yang meminta pendapat saya, saya akan berikan tetapi saya rasa pasukan akan berkembang dengan baik apabila semua orang menjalankan tugas.”

Bekas pembantu Jurgen Klopp yang telah berkhidmat lama bersama pengendali dari Jerman itu, Zeljko Buvac, diberikan tempoh rehat oleh pasukan baru-baru ini dan dia turut dikaitkan dengan jawatan panas di Emirates itu.

“Saya tidak begitu mengenali Buvac. Secara terbuka, lebih baik saya tidak bercakap tentangnya. Ia akan memberi kesan kepada calon lain dan saya tidak mahu memberikan tekanan kepada individu lain. Lebih baik untuk membiarkan mereka bebas.

“Pengganti saya perlu memastikan pasukan ini sebagai keutamaan dalam hidup mereka dan bertindak seolah-olah Arsenal adalah miliknya. Tiada jalan lain untuk mengendalikan pasukan ini selain mempertaruhkan seluruh hidup untuknya. Mereka harus menjalankannya dengan baik,” tambah Wenger.