Arsene Wenger menegaskan dia tidak gusar mengenai kemungkinan Alexis Sanchez akan meninggalkan Arsenal, bulan depan.

Pemain antarabangsa Chile itu akan memasuki enam bulan terakhir kontraknya di Stadium Emirates dan tidak dijangka kekal dengan kelab itu dalam musim berikutnya.

Sanchez, yang terus dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, memberikan satu lagi peringatan betapa penting kelibatnya kepada The Gunners dalam kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Sekiranya Arsenal tidak menjual bekas penggempur Barcelona itu bulan depan, ia akan membenarkan perpindahannya secara percuma, sebaliknya Wenger tidak bimbang akan kehilangannya.

"Saya tidak takut," kata Wenger kepada Sky Sports. "Tetapi, seperti yang anda katakan, itu akan menjadi tumpuan utama berikutan situasi kontraknya.

"Saya hanya boleh mengulangi apa yang telah saya katakan sehingga kini dan saya telah mengatakannya berkali-kali, jadi saya tidak akan mengulanginya."

Jack Wilshere juga antara pemain yang kontraknya akan berakhir musim depan, namun wujud peluang besar bahawa pemain tengah England itu akan kekal.

Wilshere melakukan umpanan untuk jaringan kedua Sanchez di Selhurst Park dan Wenger gembira dengan penampilan pemain berusia 25 tahun itu akhir-akhir ini.

"Dia telah menunjukkan (persembahan yang baik) akhir-akhir ini dan sekali lagi malam ini," kata Wenger. "Dia bermain sangat baik, memberikan bola kepada Sanchez untuk mencetak gol dan secara keseluruhannya, dia sangat bagus."

Wilshere sempat mengulas selepas perlawanan bahawa dia di ambang memeterai perjanjian baru.

"Saya telah bercakap dengan pengurus dan kami akan berbincang tidak lama lagi," katanya. "Saya pasti kami akan memeterainya (kontrak), ya."

Wenger juga menyamai rekod penampilan 810 perlawanan milik pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson, sejak dia mengambil jawatan di London itu pada 1996.