Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, berkata kegagalan layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan tidak akan memberi impak terhadap masa depannya.

The Gunners tidak pernah gagal bersaing di kejohanan elit Eropah itu sejak Wenger dilantik jurulatih pada 1996, namun kekalahan 3-1 kepada West Brom kelmarin meletakkan mereka enam mata di belakang kelompok empat terbaik.

Wenger berkata selepas perlawanan itu bahawa dia sudah pun membuat keputusan sama ada untuk kekal atau tidak di Emirates meskipun timbul spekulasi dia akan kekal, dia enggan mengesahkan perkara itu di khalayak ramai.

"Keputusan saya tiada kaitan dengan situasi itu kerana saya sudah membawa kelab ini menduduki kelompok empat terbaik lebih 20 kali," katanya.

"Dunia belum berakhir lagi. Apa yang menimpa pasukan ini dihujung musim tidak akan menentukan apa yang bakal saya putuskan.

"Sudah tentu daripada aspek sukan, gagal beraksi dalam Liga Juara-Juara akan memberi impak tetapi ia tidak akan memberi kesan dari segi kewangan. Ini kerana kami mendapat suntikan lebih besar daripada Liga Perdana Inggeris."

Wenger kekal antara individu penting di Emirates dengan sebahagian besar penyokong mempamerkan kain rentang 'In Arsene We Trust #RESPECTAW'di The Hawthorns, kelmarin.

Bagaimanapun, terdapat protes yang menggesa pengendali berusia 67 tahun itu meletak jawatan tetapi Wenger enggan melabelkan tindakan itu sebagai kurang ajar.

"Saya tidak tahu," katanya. "Saya enggan menjadi hakim, jadi saya tidak boleh berkata apa-apa.

"Setiap individu bertanggungjawab dengan tingkah laku masing-masing.

"Saya sudah berikan yang terbaik. Selagi saya berada di kelab ini tidak kira setahun, 10 tahun atau empat bulan, perkara itu tidak akan berubah."