Arsene Wenger sekali lagi melaungkan bahawa Alexis Sanchez tidak akan meninggalkan Arsenal dalam jendela perpindahan ini dan percaya situasinya sangat berbeza berbanding Diego Costa di Chelsea -- kerana The Gunners mahu mengekalkan pemain bintang itu.

Sanchez dan Costa terlepas aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung minggu lalu. Tatkala penggempur Chelsea itu dilihat tidak mempunyai masa depan di Stamford Bridge, Wenger berazam untuk tidak melepaskan anak buahnya itu.

Kontrak pemain Chile itu akan berakhir tahun depan, sehubungan itu Arsenal bakal kehilangan Sanchez secara percuma pada hujung musim ini sekiranya mereka gagal mencapai kata sepakat mengenai kontrak baru -- namun Wenger kekal berharap.

"Sudah tentu (Sanchez akan kekal)," katanya kepada beIN Sports.

"(Senario) Costa merupakan situasi yang sedikit berbeza.

"Kami sentiasa mahukan Sanchez dan sentiasa mengharapkan begitu sambil berharap dapat melanjutkan kontrak Sanchez, (Alex Oxlade-) Chamberlain dan (Mesut) Ozil.

"Oleh itu, adalah sukar untuk saya menghuraikan situasi Chelsea berkenaan dengan Costa."

Berhubung perjanjian baru, Wenger menjangkakan Sanchez akan menghormati kontrak semasanya dan mengharungi musim ini di Stadium Emirates.

"Ada masanya ia agak janggal di dalam media apabila kelab mahu kontrak itu dihormati," katanya.

"Bagi saya, ia logik. Saya kagum bahawa kamu kagum. Ia kelihatan normal.

"Jika saya menandatangani kontrak, saya akan menghormatinya. Sudah tentu, kalau kelab melepaskan saya ia adalah normal untuk saya pergi ke mana-mana, tetapi saya sedar apabila saya menandatangani kontrak dua tahun dengan Arsenal, Arsenal memiliki kontrak itu dan saya perlu menghormatinya."