Arsene Wenger teruja untuk kembali ke kancah bola sepak tetapi bekas pengurus Arsenal itu belum pasti apakah dia akan menggalas tugas dalam pengurusan.

Wenger, 69, mengakhiri tempoh 22 tahun bersama pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada akhir musim lalu dan tidak memegang sebarang jawatan pada musim ini.

Pengurus dari Perancis berkenaan dilaporkan menolak beberapa peluang, namun berkata dia akan kembali walaupun tidak pasti apakah peranannya kelak.

"Saya akan kembali ke bola sepak, itu sudah pasti," kata Wenger kepada The Guardian.

"Apakah jawatannya saya tidak tahu lagi. Sama ada sebagai pengurus atau tidak tetapi selera dan keinginan saya masih ada."

Wenger, yang mengetuai Arsenal merangkul tiga gelaran EPL dan tujuh Piala FA, berkata beliau akan segera memutuskan apakah jawatan yang dihajatinya.

"Pada mulanya, saya berkata saya ingin kembali mengurus pasukan tetapi selepas itu, saya fikir mungkin saya perlu menggalas tugas yang lain," katanya.

"Saya menyimpulkan bahawa saya ingin kongsikan apa yang saya pelajari dalam hidup kerana kehidupan hanya bermanfaat jika anda berkongsi apa yang anda ketahui.

"Adakah ia berkisarkan tentang kemenangan bola sepak atau perkara selainnya. Itulah yang saya putuskan. Saya akan membuat keputusan dalam masa yang singkat.

"Bola sepak masih menggiurkan saya. Itulah satu-satunya perkara yang saya berasakan mempunyai sedikit pengetahuan tentangnya."