Arsene Wenger mengakui Mesut Ozil mungkin perlu berjuang untuk menangani kritikan yang dilemparkan ke atasnya berikutan prestasi buruk Arsenal.

Tonggak antarabangsa Jerman itu telah menjadi perhatian sejak kebelakangan ini ekoran aksi kurang memberangsangkannya dalam kekalahan 2-0 kepada musuh tradisi, Tottenham Hotspur, pada Ahad lalu sehingga bahasa badannya telah dipersoalkan.

Dengan Arsenal menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menghadapi tugas berat untuk menjamin tempat dalam kelayakan Liga Juara-Juara, Ozil tidak meraih simpati peminat setia Gunners meskipun Wenger mempertahankan pemain berusia 28 tahun itu.

Mala, pengurus berbangsa Perancis itu mengakui senario itu mungkin membelenggunya.

Ditanya sama ada bekas bintang Real Madrid itu menjadi sasaran mudah, Wenger -- yang akan menghadapi Manchester United pada Ahad ini -- berkata: "Pemain utama perlu memikul tanggungjawab besar seperti itu.

"Saya tidak tahu (jika dia dapat menyesuaikan diri dengannya), saya tidak pasti.

"Saya fikir, dia mampu menangani cabaran perlawanan besar. Adakah dia menerima cabaran kritikan? Saya tidak pasti.

"Saya percaya kritikan pada Ahad lalu ke atas Mesut Ozil tidak mencerminkan apa yang berlaku di atas padang.

"Secara keseluruhannya, saya percaya bahawa baru-baru ini dia telah berusaha keras. Dia seperti pemain lain dalam pasukan ini, tidak berada di tahap terbaik secara fizikalnya.

"Kami mengharungi perlawanan pada Ahad sebelumnya, kemudian pada Rabu dan kami gagal pulih sepenuhnya pada Ahad lepas. Dia adalah salah seorang tonggak utamanya.

"Ia sering begitu. Pemain-pemain bereputasi besar akan menerima lebih banyak kritikan dan gaya permainannya adalah kelancaran dan kurang agresif, tetapi itu tidak bermakna keinginannya kurang berbanding yang lain."

Laporan turut mendedahkan bahawa Ozil -- kontraknya berbaki semusim lagi -- telah menendang pintu di White Hart Lane untuk melepaskan kekecewaannya selepas dikehendaki menjalani ujian anti-doping berikutan kekalahan kepada Spurs.

Wenger meminta maaf di atas kelakukan itu dengan menawarkan perkembangan baru mengenai kontrak Ozil sambil melahirkan hasrat untuk mengekalkan khidmat Alexis Sanchez dan Alex Oxlade-Chamberlain.

Pengurus berusia 67 tahun itu berkata: "Sebelum kami berbelanja besar, kami ingin menganalisis semua aspek komitmen kerana bukan sahaja Mesut Ozil dan Sanchez yang perlu dilanjutkan kontrak, terdapat pemain lain juga."

"Kami perlu memastikan bahawa kami mempunyai sumber yang mencukupi untuk melanjutkan kontrak pemain lain. Sebagai contoh, Chamberlain adalah sebahagian daripadanya."