Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yakin bahawa pemain sayapnya, Alexis Sanchez, tidak akan meninggalkan The Gunners dan akan menghormati kontraknya bersama pasukan.

Sanchez mempamerkan komitmen tingginya terhadap Arsenal selepas kembali menyertai kem latihan pada minggu ini setelah berehat susulan penyertaannya dalam Piala Konfederasi 2017 bersama Chile.

Dia, yang bakal menghampiri penghujung kontrak pada musim panas 2018, dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City serta Paris-Saint Germain (PSG).

Bagaimanapun, pengurus berusia 67 tahun itu yakin bekas pemain Barcelona itu akan terus bersama pasukannya.

“Keputusan saya amat jelas. Dia akan kekal di sini dan menghormati kontraknya.

“Kami tidak mahu bercakap mengenai kontrak baru kerana sama ada wujud atau tidak kontrak, ia adalah rahsia kelab,” kata Wenger.

Sementara itu, Wenger turut menyeru agar anak-anak buahnya menerima hakikat tidak dapat beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim ini tetapi meletakkan fokus sepenuhnya terhadap aksi Perisai Komuniti menentang Chelsea, Ahad ini.

“Saya amat gembira untuk bermain dalam UCL tetapi kami harus menerima hakikat bahawa kami tidak berjaya melayakkan diri.

“Bagi saya, ia adalah peluang untuk kami mempersiapkan diri menghadapi saingan liga dengan lebih baik kerana tidak terikat,” katanya.