ARSENAL 3 BOURNEMOUTH 1

Arsene Wenger memuji kebolehan Alexis Sanchez ketika membantu Arsenal menewaskan Bournemouth 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.


Bintang Chile itu mempamerkan prestasi yang cemerlang sejak mengetuai jentera serangan The Gunners, dengan Sanchez telah menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk dua gol ketika menundukkan Bournemouth pada Ahad.

Skuad kendalian Eddie Howe telah cuba untuk bersaing dengan pasukan tuan rumah tetapi kualiti yang dimiliki oleh Sanchez gagal dikawal oleh Bournemouth.

"Walaupun Sanchez kelihatan tidak bernyawa, dia masih lagi berjaya mendapatkan bola semula daripada pasukan lawan dan cuba melakukan sesuatu yang istimewa," kata Wenger.

"Sanchez merupakan seorang pemain yang akan meningkatkan intensiti permainannya ketika memegang bola."

Kontrak Sanchez yang bakal tamat 18 bulan lagi telah menarik minat kelab gergasi seperti Juventus dan Manchester City untuk mendapatkan khidmatnya, dan Wenger menyedari mereka harus mencuba yang terbaik untuk memastikan dia tidak meninggalkan Arsenal.

"Dia adalah pemain yang penting buat kami. Tetapi kami tidak akan tergesa-gesa untuk menawarkan kontrak baru, kami harus mengadakan perbincangan yang lebih terperinci terlebih dahulu."