Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, mengesahkan penyerangnya, Alexandre Lacazette, tidak mengalami sebarang kecederaan ketika aksi pra-musim Piala Emirates menentang Sevilla, semalam.

Lacazette, yang menyertai The Gunners dengan rekod perpindahan kelab bernilai GBP52 juta (RM292 juta) dari Olympique Lyon, dibawa keluar oleh Wenger ketika perlawanan berbaki 12 minit dan digantikan oleh Alex Iwobi.

Bagaimanapun, Wenger menafikan penyerang Perancis itu mengalami sebarang kecederaan sambil memuji aksi Lacazette sejak menyertai skuad kendaliannya.

“Saya tidak membawa Lacazette keluar kerana cedera. Dia salah seorang pemain yang menampilkan aksi positif dalam perlawanan hari ini,” ujar Wenger.

“Dia agak terganggu ketika aksi keseluruhan pasukan agak mendatar, namun beraksi baik apabila memegang bola dan berjaya menjaringkan gol.

“Setiap minggu, Lacazette tampak mudah untuk menyesuaikan diri. Saya rasa ia akan mengambil masa selama satu atau dua bulan.

“Jaringan gol adalah sesuatu yang dilakukan tepat pada masanya dan Lacazette memiliki kualiti itu,” tambah Wenger.