Arsene Wenger cuba meredakan kepentingan perjuangan Arsenal musim ini dengan mengaitkan pasukan seperti Liverpool tidak pernah memenangi kejuaraan dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arsenal tergelincir ke tangga keenam EPL berikutan tewas 3-1 di West Brom hujung minggu lalu, susulan tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara berikutan kekalahan 10-2 secara agregat di tangan Bayern Munich.

Begitupun, Wenger berasakan keadaan Arsenal tidak seteruk seperti yang dicanangkan apabila menekankan kualiti pasukan lain dalam EPL pada hari ini menjadikan tugas untuk memenangi trofi semakin sukar.

"Kami akan melalui tempoh yang sukar dalam mencapai kemenangan, jadi saya fikir adalah penting untuk memberi tumpuan dan kembali berada di landasan tepat," kata Wenger yang kontraknya akan tamat pada penghujung kempen ini kepada beIN Sports.

"Kami menderita teruk ketika ini, tetapi apabila anda mengetepikan dan meletakkan beberapa perkara dalam perspektif di mana kami mempunyai kelebihan dua perlawanan dan kini berada dalam separuh akhir Piala FA, jadi musim kami akan ditentukan oleh sejauh mana kami bertindak balas dalam tempoh yang sukar.

"Anda sebenarnya boleh mengatakan jika anda tidak memenangi EPL, maka ia bukan musim yang berjaya dan saya boleh memahaminya.

"Tetapi anda mempunyai kelab besar seperti Liverpool yang tidak pernah memenangi EPL dan begitu juga kelab gergasi seperti Manchester City, United kerana tahun ia akan dimenangi oleh Chelsea.

"Tidak kira berapa banyak kelab gergasi pun, setiap tahun hanya akan ada satu pasukan yang akan menang.

"Sudah tentu ia akan menjadi satu kekecewaan tidak memenangi kejohanan itu tetapi anda perlu mara sejauh boleh dan melakukannya sebaik mungkin.

"Kami perlu berjuang untuk menamatkan di kedudukan setinggi yang boleh dan kemudian membiarkan orang lain yang menghakiminya.

"Tugas saya bukan untuk menghukum, ia adalah untuk menghasilkan dan membiarkan orang lain menghakiminya.

"Tetapi saya fikir jika anda melihat di mana kedudukan kelab ini ketika saya tiba dan di mana ia berada pada hari ini, saya cukup berbangga dengan apa yang saya lakukan untuk kelab ini."