Wenger pertaruh campuran pemain muda, berpengalaman hadapi Southampton

By Oliver Fisher 30 November 2016
 Wenger pertaruh campuran pemain muda, berpengalaman hadapi Southampton
Arsene Wenger berkata beliau akan menurunkan barisan mantap di sebalik rombakan yang dibuat dalam skuad Arsenal untuk aksi bertemu Southampton dalam suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di mana Carl Jenkinson hampir pasti akan membuat penampilan. 

Wenger menegaskan kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth dalam aksi liga minggu lalu meredakan tekanan terhadap pasukan London itu selepas mencatatkan keputusan seri berturut-turut dalam semua pertandingan. 

"Kami akan mengadunkan pemain muda dan berpengalaman tapi 90 peratus adalah terdiri daripada pemain dalam skuad utama," kata Wenger menerusi laman rasmi kelab itu menjelang pertemuan di Stadium Emirates, awal pagi esok. 

"Kami memiliki momentum kemenangan dan secara tiba-tiba meraih keputusan-keputusan seri, jadi ia bermain di dalam minda pemain. 

"Bagi kami, kemenangan ke atas Bournemouth adalah langkah penting. Selepas menyaksikan rakaman perlawanan itu, saya berasakan kami telah mempamerkan persembahan yang lebih baik daripada yang saya sangkakan."

Wenger berpendapat Jenkinson akan memanfaatkan aksi perlawanannya dan beliau berharap pemain berusia 24 tahun itu mempamerkan peningkatan prestasi. 

"Carl Jenkinson akan beraksi. Saya merehatkannya ketika bertemu Bournemouth kerana dia telah beraksi dalam dua perlawanan penting dan saya berasakan dia perlu berehat.

"Ada kalanya, mentaliti mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu sangat mencabar. Carl akan kembali esok dan Gabriel akan diletakkan di bahagian pertahanan tengah.

"Kemudian kita akan lihat apa yang akan berlaku Sabtu nanti," tambah Wenger lagi sempena pertemuan dengan West Ham, Sabtu ini. 

About Author

Oliver Fisher

Comment

Read Next

Isu FAS dan PKNS dijangka selesai pada Rabu

By 28 November 2016. 11.43 AM