Wenger pertahan tindakan tidak turunkan Sanchez lebih awal

By Staff Writer 5 March 2017 190
Wenger pertahan tindakan tidak turunkan Sanchez lebih awal

Arsene Wenger menegaskan keputusan mengetepikan Alexis Sanchez daripada kesebelasan utama bukan punca Arsenal tewas kepada Liverpool, malam tadi.

Sanchez sekadar memanaskan bangku simpanan sebaik perlawanan dimulakan, dengan Wenger memilih untuk memberi kepercayaan kepada Danny Welbeck dan Olivier Giroud.

Gol dalam separuh masa pertama oleh Roberto Firmino dan Sadio Mane meletakkan Liverpool mendahului selesa sebelum Welbeck merapatkan jurang memasuki babak kedua.

Georginio Wijnaldum mengesahkan kemenangan 3-1 The Reds dengan gol ketiga untuk membawa kelab itu ke kedudukan ketiga liga, mengatasi Arsenal yang masih kurang satu perlawanan.

Bagaimanapun, Wenger berkata keputusan itu tiada kaitan dengan tindakannya tidak menurunkan Sanchez dalam kesebelasan utama.

"Betul Sanchez ada mencipta impak dalam babak kedua," Wenger memberitahu BT Sport.

"Tetapi saya berasakan gandingan penyerang -- Giroud dan Welbeck -- agak terkesan ekoran tidak mendapat bantuan daripada jentera tengah. Mereka beraksi dengan lebih baik memasuki babak kedua.

"Senario ini mudah untuk diperdebatkan."

Wenger mengakui aksi Arsenal dalam separuh masa pertama cukup hambar sehingga menyebabkan Liverpool meledak gol 'mudah'.

"Pemain bergelut untuk mendapatkan rentak," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment