Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menegaskan bahawa Granit Xhaka bukan pemain yang kotor meskipun aksinya setakat ini mendapat kecaman.

Pemain berusia 24 tahun itu tiba di Arsenal dari Borussia Monchengladbach musim lalu dengan reputasi yang kurang baik.

Dikenali sebagai pemain yang kasar, Xhaka telah dibuang padang dalam Liga Perdana Inggeris di samping menghadiahkan sepakan penalti kepada Bournemouth yang berakhir dengan keputusan 3-3.

Namun, Wenger percaya pemain antarabangsa Switzerland itu sudah menampakkan kemajuan daripada aspek bertahan, sekaligus menafikan dakwaan dia seorang pemain yang kotor.

"Dia bukan pemain yang kotor. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi bertahannya," jelas Wenger.

"Dia sudah jarang melakukan bentesan. Dia kini menggunakan fizikalnya dengan bijak untuk memenangi perebutan bola.

"Dia kini lebih fokus berbanding sebelum ini."

Wenger memerlukan Xhaka untuk berada di tahap yang terbaik, terutamanya ketika ini, apabila The Gunners ketiadaan khidmat Santi Cazorla yang masih cedera dan Francis Coquelin yang akan terlepas aksi selama empat minggu susulan kecederaan hamstring.

Tatkala Arsenal sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Preston North End dalam aksi Piala FA pada Sabtu, Wenger turut berasakan bahawa Xhaka agak tidak bernasib baik apabila sering menghadiahkan pihak lawan sepakan penalti.

"Dia telah menyebabkan beberapa sepakan penalti dan saya setuju bahawa dia perlu menghentikannya," katanya.

"Tetapi pada saya, dia cuma tidak bernasib baik."