Selepas dilayangkan kad merah kedua musim ini, Arsene Wenger, menggesa Granit Xhaka untuk mengawal sifat kasarnya di atas padang agar tidak menghukum Arsenal pada masa akan datang.

Xhaka, yang dibuang pada Oktober lalu ketika berdepan Swansea City, sekali lagi menerima nasib sama, kali ini daripada pengadil, Jon Moss, dalam kemenangan dramatik 2-1 ke atas Burnley semalam apabila dia melakukan terjahan keras ke atas Steven Defour.

Dalam kedua-dua perlawanan yang Xhaka dibuang padang, Arsenal masih mengutip tiga mata, namun Wenger berpendapat sekiranya Xhaka mengulangi perkara sama, ia akan memberi impak negatif terhadap perjuangan pasukan itu musim ini.

"Secara jujur, saya perlu menelitinya semula," Wenger bercakap dalam sidang media sebaik tamat perlawanan.

"Melihat reaksi semua pihak ketika itu, sememangnya dia layak dikenakan kad merah. Dia perlu mengawal dirinya dan mengelak daripada cuba melakukan terjahan keras.

"Saya tidak pernah meminta pemain tengah saya untuk melakukan terjahan, sebaliknya cukup sekadar melakukan bentesan ketika berdiri. Jika terjahan itu kasar, sudah pasti akan dikenakan kad merah."