Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, berkata kelab itu berkemungkinan besar akan melanjutkan kontrak Santi Cazorla dan Per Mertesacker.

Cazorla, 32 tahun, yang telah dikaitkan dengan kepulangan ke LaLiga dengan Atletico Madrid, dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya sementara Mertesacker telah menarik perhatian beberapa kelab di Jerman, antaranya Werder Bremen dan Hannover.

Bagaimanapun, Wenger bertekad mengekalkan dua pemain berpengalaman tersebut di Emirates untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

"Pembaharuan kontrak Cazorla dan Mertesacker tidak bergantung kepada tahap kecergasan mereka," ujar Wenger menerusi laman sesawang rasmi Arsenal.

"Kami berpeluang untuk melanjutkan kontrak mereka, jadi itulah yang akan kami lakukan.

"Kami mahu mereka kekal kerana mereka merupakan pemain yang berkualiti di samping mampu memimpin pemain lain di Arsenal. Penting untuk adanya keseimbangan di antara pemain muda dan senior."

Cazorla dan Mertesacker masih belum dapat beraksi susulan masih mengalami kecederaan, namun timbul laporan bahawa pertahanan Jerman itu semakin hampir untuk kembali meskipun Wenger menjelaskan pemain itu masih memerlukan masa.

"Mertesacker masih belum dapat kembali," Wenger menambah.

"Dia mengalami kecederaan di betis. Walaupun dia sudah berlatih di atas padang, namun dia tidak akan diturunkan.

"Masih ada tiga hingga empat minggu sebelum dia kembali beraksi."