Arsene Wenger mencabar Arsenal untuk bangkit dengan bergaya bagi menutup mulut pengkritik mereka ekoran keputusan seri 1-1 yang diraih ketika menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

The Gunners mempersembahkan permainan goyah di Old Trafford dan bernasib baik membawa pulang satu mata menerusi gol tandukan Olivier Giroud pada minit ke-89, iaitu satu-satunya percubaan mereka dalam perlawanan tiu.

Selepas sekadar seri tiga kali dalam empat perlawanan terakhir mereka, Arsenal masih belum dikalahkan sejak diaibkan Liverpool dalam aksi pembukaan liga. Kini mereka berpeluang untuk menguasai puncak kumpulan Liga Juara-Juara seandainya mereka menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium Emirates.

Meskipun Wenger menegaskan beliau tidak menerapkan taktikal bertahan ketika berdepan United, beliau percaya pertembungan dengan PSG adalah detik sempurna untuk mereka menemui prestasi sebenar.

"Kami harus berdepan dengan kritikan dan menerimanya," katanya dalam sidang akhar.

"Jentera serangan kami tidak berada dalam situasi yang baik, kami tidak merancang untuk tidak menjaringkan gol. Kami mengatur serangan dan menguasai perlawanan, tapi belum cukup untuk mencipta peluang gol.

"Kami bertahan selepas itu dan bangkit semula tetapi sudah tentu, kami boleh melakukan lebih baik lagi di bahagian serangan.

"Adalah penting untuk menjuarai kumpulan. Biarpun kami agak terumbang-ambing, kami mahu mengukuhkan momentum kami dengan kemenangan."

Arsenal dan PSG sudah pun layak ke peringkat seterusnya dengan menidakkan cabaran Ludogorets dan Basel.

Pasukan dari London itu berjaya mencuri satu mata dalam pertemuan pertama mereka selepas dibantu dengan ketangkasan David Ospina di depan gawang, dan Wenger mahu pasukannya membuktikan bahawa mereka sudah mencapai kemajuan sejak pertemuan itu.

"Kedua-dua pasukan sudah melaksanakan tugas mereka," kata beliau. Adalah bagus untuk layak selepas empat perlawanan di mana kami berhempas-pulas musim lalu.

"PSG mempamerkan permainan terbaik mereka ketika bertemu kami pada awal musim. Penjaga gol kami mempamerkan aksi cemerlang. Inilah peluang untuk kami membuktikan bahawa kami sudah pun meningkat.

"Saya tidak fikir mereka sentiasa inginkan kemenangan dalam perlawanan liga, oleh itu adalah lebih baik untuk meraih keputusan seri dalam perlawanan Liga Juara-Juara.

"Unai Emery (jurulatih PSG) cuba mencapai rentak yang dikehendakinya. Saya berasakan beliau sudah menemui keseimbangan."