Arsene Wenger memberikan tabik hormat kepada penjaga gol, Petr Cech, selepas prestasi cemerlangnya ketika menewaskan Watford 3-0 sebagai membuktikan dirinya telah bangkit.

Cech dilihat sebagai punca utama ketika Arsenal tunduk 1-2 di tangan Brighton and Hove Albion sebelum ini dan dia mengeluarkan kenyatan menerusi laman sosialnya dengan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan itu.

Bagaimanapun, Cech mengubah nasibnya daripada malang kepada menjadi wira dalam seminggu apabila menyelamatkan sepakan penalti Troy Deeney – yang sebelum ini mengkritik hebat Arsenal – sekali gus memacu kemenangan 3-0 The Gunners di Emirates dan meraih perlawanan ke-200 tanpa dibolosi di pentas Liga Inggeris

“Dia harus menunggu terlebih dahulu sebelum menyalamatkan sepakan penalti. Lebih menarik, kali ini dia menyelamatkan tendangan Deeney.

“Saya percaya dalam masa dua minggu lagi, situasi yang berlaku kepada Cech akan menerangkan istilah bola sepak yang sebenar. Dalam masa seminggu, nasib malangnya telah berubah menjadi perkara sebaliknya,” kata Wenger.

“Bagaimanapun, saya menyukai kedua-dua situasi kerana apa yang penting Cech mempamerkan tanggungjawab dan rekod yang dicatatkan itu adalah satu pembakar semangat yang besar dan hebat.

“Anda tidak akan bertahan dalam sesuatu perkara jika tidak hebat.”

Dalam masa sama, Wenger juga berpendapat bahawa Cech wajar ditempatkan dalam kelompok antara penjaga gol terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.

“Saya biarkan anda yang menilainya, bagi saya perkara itu benar. Jika anda melihat kepada pencapaiannya, perkara paling sukar adalah mengekalkan tahap konsisten,” tambahnya.