SWANSEA 3 ARSENAL 1

Arsene Wenger mengakui Olivier Giroud mungkin telah beraksi buat kali terakhir untuk Arsenal ketika tewas 3-1 kepada Swansea City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Giroud hadir ke dalam perlawanan pada babak kedua dan berkemungkinan telah turun dalam aksi terakhirnya buat The Gunners di Stadium Liberty.

Penyerang kebangsaan Perancis itu telah dikaitkan bakal berhijrah dari Arsenal dan Chelsea dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya manakala The Gunners sedang menantikan kedatangan penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang.

"Segalanya akan diselesaikan tidak lama lagi," kata Wenger.

"Kami akan membuat pengumuman apabila ia telah dilakukan," katanya.

Arsenal terus mempamerkan persembahan kurang memberangsangkan selepas tewas di Stadium Liberty, sekali gus meletakkan mereka lapan mata daripada Liverpool yang menghuni tangga keempat EPL.

Nacho Monreal membuka jaringan sebelum Swansea bangkit meraih tiga mata penuh, dengan Sam Clucas menjaringkan dua gol sementara Jordan Ayew memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah.

"Saya berasakan kami gagal bermain dengan baik dan banyak melakukan kesilapan.

"Selepas kami menjaringkan gol, kami gagal mempertahankannya dan pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan.

"Mereka telah bermain dengan baik, memberikan tekanan kepada pasukan."