Alexis Sanchez diminta menghormati kontraknya oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Penyerang Chile itu sepatutnya melaporkan diri bagi sesi latihan pra-musim hari ini selepas diberi cuti tambahan susulan beraksi bersama negaranya dalam Piala Konfederasi bulan lalu.

Tatkala Sanchez memasuki tahun terakhir kontraknya di Stadium Emirates, kelab lain termasuk Bayern Munich, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City dikhabarkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, Wenger, yang bertekad memastikan pemain itu kekal bersama The Gunners meskipun berdepan risiko kehilangan pemain itu secara percuma hujung musim ini, menegaskan pemain itu akan kekal.

"Dia mengalami selesema. Semalam, dia memberitahu saya akan kembali secepat mungkin," kata Wenger selepas Arsenal mencatat kemenangan 5-2 ke atas Benfica dalam Piala Emirates, semalam.

"Kami mengikuti perkembangannya.

"Tiada sebarang masalah tetapi dia hanya akan kembali pada Selasa. Buat masa ini, tiada sebarang perkembangan terbaru. Dia akan kekal bersama kami. Bagi saya, pemain yang mengharapkan kontrak baru perlu menghormati kontraknya.

"Saya tidak boleh mendedahkan apa yang dia cakap. Kami bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia akan kembai secepat mungkin sebaik pulih. Ia akan memakan masa empat hingga lima hari."