Arsene Wenger berang dengan soalan tentang masa depan Alexis Sanchez di sebalik khabar angin berterusan mengenai minat yang diperbaharui Manchester City terhadap tonggak Arsenal itu.

City gagal dalam usaha mendapatkan bintang Chile itu semasa jendela perpindahan sebelum ini tetapi terdapat spekulasi kuat mengatakan mereka cuba membuat perjanjian bulan depan, dengan kontrak Sanchez tamat pada akhir musim.

Gabriel Jesus mendapat kecederaan dalam keputusan seri 0-0 dengan Crystal Palace semalam di mana pengurus, Pep Guardiola, mengatakan pemain itu mungkin direhatkan sehingga dua bulan, yang mendorong perbincangan mengenai tawaran City terhadap Sanchez

Guardiola sendiri menyatakan dia menjangka pemain berusia 29 tahun itu akan kekal di Stadium Emirates, dan Wenger juga tidak bersemangat untuk membincangkan isu itu selepas pasukannya diikat 1-1 oleh West Brom menerusi sepakan penalti kontroversi lewat yang diambil Jay Rodriguez.

Ditanya adakah Sanchez bermain buat kali terakhir untuk Arsenal dalam aksi di The Hawthorns itu, Wenger memberitahu sidang akhbar: "Kami bermain pada Khamis ini (melawan Chelsea).

"Saya banyak kali bercakap mengenai perkara ini. Saya tidak bersedia untuk bercakap tentangnya lagi.

"Saya telah memberi kamu jawapan berkali-kali. Saya tidak nampak mengapa saya harus kembali kepada subjek yang kita telah bincangkan kira-kira 155 kali," tegasnya.

Wenger juga membidas legenda kelab, Thierry Henry, selepas mendakwa bahawa sambutan bercampur-baur pemain Arsenal semasa kemenangan 3-2 di Crystal Palace minggu lalu, yang merujuk kepada keretakan di bilik persalinan disebabkan oleh masa depan Sanchez yang tidak menentu.

"Ia tidak pernah ada masalah di dalam (kelab)," katanya. "Saya tidak dengar apa yang dikatakannya dan orang lain kata.

"Kami memberi tumpuan kepada masalah kami, itu sahaja.

"Ada orang yang dibayar untuk bercakap. Kadang-kadang sukar apabila anda dibayar untuk bercakap," katanya.

Ditanya adakah Arsenal akan mengambil pemain baru dalam jendela perpindahan ini, Wenger menambah: "Esok (Isnin), saya akan cuba terlebih dahulu dan setelah itu, kita akan lihat."