Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, bimbang dengan keadaan pemain tengah, Santi Cazorla, yang berkemungkinan terlepas 10 lagi perlawanan kerana kecederaan pergelangan kaki.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu tidak beraksi sejak Oktober lalu dan sekadar melakukan 11 penampilan dalam semua pertandingan musim ini.

Cazorla, 32, dilihat bakal direhatkan untuk beberapa minggu lagu dan Wenger berharap dia akan kembali pada penghujung musim nanti.

"Cazorla masih jauh daripada membuat penampilan semula," ujar Wenger.

"Dia masih belum berada di tahap terbaik, dia masih memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat minggu lagi sebelum beraksi."

Arsenal kini menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bakal bertemu Swansea City hari ini.