Pengurus, Arsene Wenger, menyatakan Arsenal lebih bersatu selepas jendela perpindahan ditutup pada awal bulan lalu.

Arsenal menghadapi kesukaran sebelum jendela perpindahan ditutup apabila tewas 4-0 kepada musuh dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, ketika kelab itu sedang berusaha memastikan Alexis Sanchez tidak meninggalkan pasukan.

Sanchez dilihat bakal menyertai Manchester City tetapi bintang Chile itu kekal di Stadium Emirates, manakala Alex Oxlade-Chamberlain dan Kieran Gibbs telah meninggalkan pasukan.

"Kami dapat berasakan seperti pasukan yang berbeza. Anda dapat melihatnya dalam gaya permainan kami," kata Wenger.

"Arsenal lebih bersatu selepas tamat jendela perpindahan. Tumpuan semua pemain adalah untuk menghadapi perlawanan-perlawanan akan datang."

Arsenal kini menduduki tangga ketujuh dalam saingan EPL, ketinggalan sembilan mata kepada City dan Manchester United.