Arsene Wenger percaya Chelsea merupakan pilihan untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, namun bos Arsenal itu tetap kritikal terhadap kualiti saingan itu secara keseluruhannya pada 2016.

Chelsea memimpin liga dengan enam mata ke atas Liverpool menjelang aksi hujung tahun ini dengan Gunners menduduki tangga keempat.

Sejumlah12 kemenangan yang dicipta berturut-turut menjadikan Chelsea sebuah pasukan yang ingin ditumbangkan dan pengurus berbangsa Perancis itu mengakui berdepan tugas sukar untuk menghambat anak buah Antonio Conte.

Wenger sedar jika mereka ingin mengejar kedudukan seteru kota London itu, mereka perlu beraksi cemerlang ketika berdepan enam lagi pencabar utama dalam separuh kedua kempen musim ini.

"Sudah tentu setiap pertembungan adalah penting," ujar Wenger menjelang pertemuan dengan Crystal Palace.

"Tapi Chelsea adalah pilihan utama, mereka yang menentukan nasib.

"Mereka masih boleh dikecewakan, masa masih lagi panjang. Ia akan menjadi perjalanan yang sukar buat semua orang dan setiap perlawanan akan membawa pengaruh besar."

Ketika kalendar tahun ini hampir melabuhkan tirai, Wenger membuat kejutan dengan mengkritik kualiti EPL pada 2016 dengan menganggap setiap kelab perlu meningkatkan tahap mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Saya menilai 2016 kepada dua bahagian," tambahnya.

"Pada separuh pertama, kami menamatkan saingan liga di tempat kedua. Ia mengecewakan kerana kami gagal memenangi gelaran liga.

"Selepas itu, dalam bahagian kedua, kami meningkatkan tahap permainan kami. Kami hampir memenangi trofi walaupun liga ini amat menarik, ia adalah musim yang luar biasa dan saya fikir setiap pasukan adalah mengecewakan dalam kesemua aspek."

"Kami tidak memperagakan aksi yang boleh diingati, saya yakin dalam separuh kedua musim ini tahap permainan akan meningkat. Kami perlu menunaikan tanggungjawab itu.

"Mungkin kerana semua pasukan sangat berkualiti, setiap pasukan berasa tertekan untuk mengelak kekalahan, setiap perlawanan adalah amat penting.

"Saya berasakan liga ini masih mampu menampilkan aksi lebih baik lagi berbanding apa yang kami sedang lakukan, termasuklah saya (dan Arsenal)."