Nigel Pearson akan mengetuai Watford dalam misi mengelakkan daripada tergelincir selepas kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengurus The Hornets.

Bekas pengurus Leicester City itu hadir bagi menggantikan Quique Sanchez Flores, yang kembali buat kali kedua di Vicarage Road, tetapi jawatannya berakhir pada hujung minggu lalu susulan kekalahan pedih kepada Southampton.

Pearson memeterai kontrak sehingga akhir musim ini, kata Watford di laman sesawang rasminya.

The Hornets kini menghuni tangga tercorot EPL dengan lapan mata daripada 15 perlawanan. Pengurus berusia 56 tahun itu muncul sebagai pengurus selepas Javi Gracia dan Flores.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Watford, Scott Duxbury, berkata: "Nigel merupakan pengurus yang mengagumkan, mempunyai pengalaman dan kejayaan. Kami percaya beliau dapat membawa kesan yang sangat positif kepada kami musim ini.

"Adalah menjadi satu penghormatan untuk mendengar kata-kata semangatnya tentang permainan. Dengan semangat, organisasi dan motivasi beliau, saya pasti ia akan menjadi elemen penting dalam mendorong pasukan ke depan dalam minggu dan bulan akan datang."

Bekas pengurus England B-21 itu pernah membimbing Leicester menerusi dua tempoh berbeza. Dia juga pernah mengemudi Southampton, Derby County dan Hull City dengan tugasan terakhirnya ialah di OH Leuven, Belgium.

Pearson akan diperkenalkan kepada penyokong Watford dalam perlawanan menentang Crystal Palace hari ini tetapi perlawanan itu akan diuruskan oleh pemangku pengurus, Hayden Mullins, kata Watford.