Pengurus Cardiff City, Neil Warnock, mengesahkan mahu menandatangani pemain muda Chelsea, Ethan Ampadu, secara pinjaman.

Ampadu beraksi ketika saingan pra-musim buat The Blues tetapi masih belum melakukan penampilan secara kompetitif buat pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu.

Namun, pemain yang mampu beraksi di bahagian pertahanan dan tengah itu mewakili Wales ketika menewaskan Ireland 4-1 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA ketika aksi antarabangsa.

Dalam penampilan ketiga buat negaranya itu, Ampadu terlibat dalam dua jaringan buat pasukannya sehingga pengendali Wales, Ryan Giggs, menjangkakan masa depan yang cerah buat pemain muda itu.

Situasi itu membuatkan Warnock yang bakal mengetuai pasukannya bertandang ke Stamford Bridge pada malam ini bercadang untuk cuba mendapatkan khidmat Ampadu secara pinjaman.

"Mereka sepatutnya meminjamkan Ampadu kepada kami," ujar Warnock.

"Saya suka melihat keyakinannya. Dia bermain dengan mudah. Ampadu cuma perlu lebih pantas kerana dia mudah disekat.

"Dia akan berkembang apabila banyak beraksi. Apabila anda bermain bersama pemain sepertinya, dia akan beraksi berbekalkan sedikit pendedahan.

"Chelsea memiliki beberapa pemain muda yang bagus dan jika mereka dapat beraksi, ia akan membantu dalam perkembangan.

"Saya akan bercakap dengan mana-mana wakil Chelsea mengenai satu atau dua perkara."