Victor Wanyama tidak akan terbuai-buai dengan permulaan Tottenham Hotspur yang memberangsangkan musim ini dengan menegaskan mereka akan mengharunginya satu persatu.

Spurs membenam Manchester City sebelum aksi perlawanan antarabangsa untuk merapati pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan satu mata, namun Wanyama sedar mereka masih belum mencapai sesuatu apa pun.

"Musim ini masih awal," ujar bekas pemain tengah Southampton itu kepada Sky Sports.

"Ia perlawanan penting. Hanya kerana kami menang tidak menjadikan kami sebagai pencabar gelaran. Ia detik yang sukar, mereka sebuah pasukan yang sukar ditumbangkan.

"Strategi kami adalah memberi tekanan tinggi dan memenangi bola di kawasan lawan. Semua orang sudah bersedia dengan cabaran ini dan kami tampil sebagai sebuah pasukan dan mempamerkan kemampuan kami.

"Kami mahu mencapai keputusan positif dalam setiap perlawanan dan menilainya dari situ."

Wanyama turut melontarkan pandangannya terhadap peranan Mauricio Pochettino di sebalik kejayaan Spurs dan memuji keinginan beliau untuk terus menjadi lebih hebat.

"Beliau sentiasa mahukan peningkatan. Beliau tidak akan berpeluk tubuh.

"Mereka telah meletakkan sasaran yang tinggi dan cabarannya adalah peningkatan.

"Mereka telah melakukannya dengan cukup baik sekali musim lalu, tapi kami harus terus berkembang.

"Pengurus cukup mengenali dan tahu keupayaan sebenar saya, itulah sebabnya beliau membawa saya ke sini."