Kyle Walker mengakui telah menolak pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling, dalam kotak penalti ketika Tottenham bangkit menyamakan kedudukan 2-2 di Stadium Etihad, semalam.

City dilihat bakal mengutip tiga mata susulan kekalahan 4-0 kepada Everton minggu lalu ketika Leroy Sane dan Kevin De Bruyne meletakkan City 2-0 di depan.

Spurs kemudian merapatkan jurang menerusi tandukan Delle Alli, namun tumpuan utama perlawanan berlaku apabila Walker dilihat menolak Sterling ketika pemain itu sedang dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, Hugo Lloris.

Bagaimanapun, pengadil, Andre Warriner enggan menganugerahkan sepakan penalti, sebaliknya Spurs menggunakan peluang itu untuk melancarkan serangan pantas bagi meledak gol penyamaan menerusi Son Heung-Min.

Senario itu mencetuskan rasa tidak puas hati di kem City.

Ditanya oleh BT Sport jika dia ada menolak Sterling, Walker menjawab: "Ya, kerana saya tiada cara lain ketika itu, saya cuba membuat dia hilang imbangan.

"Hugo kemudian menyelamatkan gawang dan kami berjaya menyamakan kedudukan sejurus selepas itu."