Everton telah melengkapkan pembelian pemain sayap, Theo Walcott, dari Arsenal melalui perpindahan yang dilaporkan bernilai GBP20 juta (RM109 juta).

Bekas produk Southampton itu sebelum ini dilaporkan bakal kembali bersana The Saints dan menarik minat West Ham United, namun akhirnya memilih untuk ke Goodison Park.

Selepas mencatat 108 jaringan hasil daripada 400 penampilan bersama Arsenal, Walcott memilih untuk bersetuju dengan tawaran kontrak selama tiga setengah tahun yang diberikan Everton.

Perpindahannya ke Goodison Park menjadi pembelian kedua The Toffees bulan ini, selepas mendapatkan khidmat penyerang Turki dari Besiktas, Cenk Tosun, pada awal bulan lalu.

"Saya mempunyai cita-cita tinggi dan datang ke sini kerana mahu membawa kelab ini ke satu tahap lebih bagus dan melihat kepada nama-nama yang hadir ke dalam pasukan, impian itu mampu dicapai," kata Walcott.

"Saya sangat gembira untuk memulakan episod baru dan yakin ini adalah pilihan tepat. Pengurus pasukan, Sam Allardyce, sangat berdedikasi dan penyokong-penyokong di sini sangat bersemangat. Sebelum ini, aksi di sini sentias memberikan cabaran sengit.

"Everton mempunyai sejarah yang bagus dan saya mahu memenangi trofi bersama pasukan. Saya ada berbincang dengan Allardyce dan kami sangat dahagakan kejayaan," katanya.