Theo Walcott mahu Wayne Rooney kekal di Everton ketika bekas kapten England itu kini dikaitkan bakal berhijrah ke DC United dan beraksi dalam Liga Bolasepak Utama (MLS).

Rooney kembali Everton selepas 13 tahun bersama Manchester United tetapi bakal berhijrah sekali lagi.

Pada Jumaat lalu, ketua jurulatih DC United, Ben Olsen, mengesahkan kelab itu berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 32 tahun itu yang telah menjaringkan 11 gol dalam semua kejohanan pada musim 2017-18.

Pengurus Everton, Sam Allardyce, menegaskan Rooney belum meminta untuk berhijrah dan Walcott -- yang menyertai The Toffees dari Arsenal pada Januari lalu -- berharap rakan sepasukannya itu kekal di Goodison Park.

"Legasi yang dibawa oleh Rooney dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), rekod jaringannya, setiap gelaran yang diraih bersama Manchester United, England dan di sini, dia adalah seorang pemain yang menakjubkan," kata Walcott.

"Sejujurnya, saya mahu dia kekal di England. Saya masih ingat ketika dihubungi Rooney, dia antara pemain yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk menyertai Everton.

"Tetapi jika dia memilih untuk meninggalkan kelab, saya mengucapkan semoga berjaya dalam kariernya."