MAN UNITED 1 ARSENAL 1

Theo Walcott berkata Arsenal berhak menerima keputusan seri selepas Olivier Giroud muncul penyelamat ketika bertemu Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam.

Arsenal -- berada dalam prestasi yang menyerlah sebelum pertemuan ini -- gagal mempamerkan aksi sebenar di laman United, namun tandukan pemain gantian, Giroud, pada minit ke-89 memastikan The Gunners pulang dengan satu mata.

Keputusan ini memastikan Arsenal berada di tangga empat teratas, dengan Walcott mengakui skuad bimbingan Arsene Wenger kecewa kerana hanya berjaya meraih keputusan seri.

"Satu mata di Old Trafford sudah memadai dan ia merupakan keputusan yang adil tetapi kami sebenarnya mahukan lebih lagi jika mahu terus bergelar pencabar utama takhta liga," jelas pemain sayap England itu kepada Sky Sports.

"Kami berjaya mencari gol penyamaan di penghujung perlawanan. Kami telah memulakan musim ini dengan baik.

"Lebih banyak lagi pertemuan yang sukar menanti kami. Saingan liga musim ini sangat sukar."

Juan Mata, yang membuka jaringan buat United pada minit ke-68, gagal menyembunyikan perasaan kecewa dengan keputusan seri itu.

"Sejujurnya, keputusan ini amat mendukacitakan saya. Kami hampir memenangi perlawanan ini tetapi inilah Liga Perdana Inggeris," ujar Mata kepada Sky Sports.

"Mereka berjuang sehingga ke minit terakhir perlawanan dan mereka memiliki satu peluang dan Giroud tidak mensia-siakannya, jadi kami perlu menerima keputusan ini."