Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, berpendapat bahawa waktu untuk Xherdan Shaqiri menyinar bersama pasukannya akan tiba tatkala penggempur itu menghitung masa untuk meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama.

Shaqiri tiba di Anfield daripada Stoke City menerusi perpindahan bernilai GBP13.5 juta (RM72.9 juta) Julai lalu tetapi bintang Switzerland itu masih menunggu untuk meraih peranan utama.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya beraksi selama 32 minit buat Liverpool pada musim ini, tatkala Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino terus menjadi pertaruhan utama Klopp di jentera serangan.

Namun, pengendali dari Jerman itu memuji kesan yang dibawa Shaqiri kepada pasukan dan menegaskan dia akan mendapat peluang untuk membuktikan kemampuannya.

"Sangat positif. Ia bukan hanya menerusi persembahan di atas padang tetapi merangkumi situasi di dalam bilik persalinan," kata Klopp.

"Semua orang sukakan Shaqiri walaupun tidak banyak beraksi dan ia adalah kesilapan daripada saya dan bukan dia.

"Dia telah melakukan segalanya untuk beraksi. Saya melakukan keputusan yang berbeza tetapi peluang untuk Shaqiri akan tiba. Itu sudah pasti," katanya.

Liverpool memenangi kesemua enam perlawanan musim ini dan kini menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris sambil bakal melayan kunjungan Southampton, malam ini.