Pengurus Huddersfield Town, David Wagner, telah meninggalkan kelab itu selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan ketika pasukan berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Terriers ketinggalan lapan mata daripada zon selamat ketika berbaki 16 perlawanan selepas seri 0-0 dengan Cardiff City, Sabtu lalu.

Huddersfield tewas lapan aksi liga di bawah kendalian Wagner, yang memimpin kelab itu beraksi dalam EPL buat kali pertama dalam sejarah.

Ia telah disahkan semalam bahawa Wagner berundur selepas berbincang dengan ahli lembaga kelab.

Pengerusi kelab Huddersfield, Dean Hoyle, sebelum ini menyatakan beliau tidak akan memecat Wagner, sebaliknya pengendali kelahiran Jerman itu yang meminta untuk meninggalkan Stadium John Smith.

"Saya mahu merakamkan ribuan terima kasih kepada Wagner di atas kejayaan yang diraih bersama Huddersfield Town selama tiga setengah tahun," kata Hoyle.

"Di bawah pimpinan beliau, kami telah mencapai sesuatu yang tidak pernah dijangkau oleh kelab ini.

"Kami bersama-sama telah membawa kelab ini ke kedudukan yang paling tinggi dalam tempoh 50 tahun dan mencipta kenangan yang akan kekal selama-lamanya.

"Pencapaiannya bersama Huddersfield kini seiring dengan Herbert Chapman dan Mick Buxton -- pengendali legenda yang mengubah wajah kelab ini.

"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya tidak berniat untuk memecat Wagner musim ini. Beliau sendiri yang bertemu dengan kami dan meminta untuk berehat seketika daripada jadual padat saingan bola sepak."

Mark Hudson akan mengambil alih Huddersfield untuk perlawanan seterusnya di laman sendiri apabila menerima kunjungan Manchester City, Ahad ini.