Pengurus Huddersfield Town, David Wagner, memuji corak permainan Aaron Mooy selepas dua jaringannya memastikan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers, lewat malam tadi.

Gol pertama Mooy hadir ketika aksi baru berusia enam minit menerusi jaringan dari jarak 20 ela untuk membuka akaun golnya musim ini sebelum pemain Australia itu menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-74 bagi melengkapkan kemenangan.

Bukan setakat jaringannya yang membuatkan Wagner teruja tetapi pemain berusia 28 tahun itu mempamerkan persembahan cemerlang untuk mematikan setiap usaha Wolves.

"Mooy adalah seorang pemain bertaraf dunia," kata Wagner.

"Dia memiliki ketenangan dengan bola, sentiasa membuat keputusan dengan bijak.

"Anda akan sukar untuk menemui pemain yang memiliki teknik dan visi sepertinya, sentiasa bekerja keras untuk pasukan."

Dalam masa sama, Wagner gembira dengan keyakinan semulajadi dipamerkan anak buahnya di Moleneux dan mahu mereka mengekalkan prestasi pada minggu akan datang.

"Pemain telah menunjukkan prestasi lebih baik musim ini tetapi masih belum menerima ganjaran," tambah Wagner.

"Semalam mereka meraih dua gol, tidak dibolosi dan beraksi cemerlang. Saya gembira untuk mereka.

"Mereka mempamerkan keberanian untuk memberi tekanan kepada lawan seperti Wolves. Kami dapat mengurangkan peluang mereka.

"Ia menambahkan keyakinan mereka. Kemenangan di tempat lawan sentiasa penting dalam Liga Perdana Inggeris dan kini kami perlu mencuba terlebih dahulu."