Bekas penyerang antarabangsa Sepanyol, David Villa, yakin dengan kemampuan Manchester City kendalian Pep Guardiola untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 2009.

Tiada pasukan yang pernah melakukannya sejak sembilan tahun lalu selepas Manchester United muncul pasukan terakhir meraihnya apabila skuad bimbingan Alex Ferguson ketika itu memintas Liverpool dengan empat mata untuk menjuarai liga tiga musim berturut-turut.

United merupakan pencabar terdekat musim lalu tetapi mereka dijangka tidak mampu menyekat kemaraan City, yang menamatkan saingan musim lalu dengan catatan rekod himpunan 100 mata di samping menjaringkan 106 gol.

Dalam 38 perlawanan, mereka hanya tewas dua kali, iaitu di tangan Livepool dan United, selain turut menjulang trofi Piala EFL sebelum melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Pengurus, Guardiola, dilihat memperkuatkan barisan pemainnya dengan pembelian Riyad Mahrez daripada Leicester City dan Villa, kini bermain untuk New York City dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, yakin juara bertahan itu adalah calon terbaik untuk mengekalkan mahkota mereka.

"Saya percaya dia mampu melakukannya kerana Guardiola merupakan pengurus yang baik, dia memiliki pasukan yang bagus. Dia juga meraih sokongan daripada Manchester City.

"Mereka merupakan salah satu pasukan terbaik dunia dan saya tidak akan terkejut jika mereka menjulang trofi liga sekali lagi pada musim ini. Begitu juga dengan saingan Liga Juara-Juara."