Vardy diancam bunuh berhubung pemecatan Ranieri

By Stefan Coerts 21 March 2017
 Vardy diancam bunuh berhubung pemecatan Ranieri
Penggempur Leicester City, Jamie Vardy, mendedahkan dia menerima ugutan bunuh ekoran dakwaan dia memainkan peranan dalam pemecatan Claudio Ranieri. 

Ranieri, yang menerajui Leicester mencipta kejayaan bersejarah menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, bagaimanapun dipecat berikutan prestasi merudum musim ini. 

Laporan mengaitkan Vardy adalah antara pemain yang memohon supaya Ranieri disingkirkan dan meskipun pemain England itu menafikan dakwaan terbabit, penyokong yang berang menyasarkannya serta keluarganya. 

"Berita itu timbul dan orang mula mempercayainya dan saya menerima ugutan bunuh ke atas keluarga, anak-anak saya," kata Vardy kepada pemberita. 

"Ugutan itu berlaku di mana-mana sahaja, baik di media sosial dan di jalanan.

"Saya cuba berdepan dengannya tapi apabila orang mula menujukannya kepada isteri saya yang sedang memandu bersama anak-anak, ia bukanlah perkara terbaik. 

"Ia berlaku berulang kali, ia menakutkan."

Vardy menegaskan dia tidak memainkan peranan dalam pemecatan Ranieri. 

"Berita itu sangat menyakitkan. Banyak tuduhan palsu dilemparkan dan sebagai pemain, kami tidak dapat berbuat apa-apa," tambahnya. 

"Jelas sekali, mesyuarat yang diadakan yang membuat keputusan itu. 

"Saya terbaca mengenai kaitan kami sejurus perlawanan dengan Sevilla (pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara ) berakhir. Mereka mendakwa saya terbabit dalam mesyuarat itu sedangkan saya sedang menjalani ujian anti-doping selama tiga jam. 

"Ia sesuatu yang memalukan."
 

About Author

Stefan Coerts

Comment