Louis van Gaal melabel spekulasi mengaitkannya untuk mengambil alih kerusi panas di Chelsea sebagai berita palsu.

Selepas kelibatnya dilihat di London untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Wembley, dilaporkan bekas pengurus Manchester United itu antara nama yang berada di bawah radar sebagai pengganti Antonio Conte di Stamford Bridge.

Arsenal turut dilaporkan berminat dengan khidmat Van Gaal, yang tidak menjawat apa-apa jawatan sejak meninggalkan The Red Devils selepas memenangi Piala FA pada Mei 2016.

Namun, Van Gaal, yang pernah mengemudi Barcelona dan Bayern Munich, menyangkal dakwaan itu.

"Mereka nampak saya di lapangan terbang, itulah bagaimana 'berita palsu' ini timbul," kata Van Gaal kepada stesen tv kabel Belanda, Ziggo.

"Saya digunakan oleh pihak yang ingin bergambar dengan saya, anda memerlukan sekeping gambar sahaja.

"Gambar tersebut telah dihantar ke Mirror Daily, kemudian timbul berita saya akan pergi ke Chelsea atau Arsenal.

"Anda boleh menganggap ia 'berita palsu'!"

Pada Disember lalu, Van Gaal mengesahkan telah beliau menolak tawaran kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, namun pengurus berusia 66 tahun itu menyatakan dia hanya akan mengendalikan sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris bagi membuktikan sesuatu kepada Manchester United selepas pemecatannya di Old Trafford.