Louis van Gaal mendakwa Manchester United telah melakukan perbincangan bagi mencari penggantinya tanpa memberitahunya.

Pengendali berusia 66 tahun itu yang menggantikan David Moyes pada 2014, telah dipecat pada Mei lalu, dua hari selepas mengemudi United untuk meraih gelaran Piala FA.

Bekas ketua jurulatih Belanda itu menyelar kelab bahawa mereka telah membuat perancangan tanpa pengetahuannya untuk digantikan oleh Jose Mourinho.

"Ketika saya menghadapi tekanan bersama pasukan, mereka telah membuat perbincangan di belakang saya," katanya.

"Ia telah dirancang rapi seperti sebuah filem dan dilakukan dengan cemerlang sejak bulan Januari.

"Saya memahami keputusan United bagi mendapatkan Mourinho. Kelab memang mahukan Mourinho mengendalikan pasukan selepas kontrak saya berakhir."