Jurgen Klopp mengesahkan Virgil van Dijk berada dalam keraguan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Liverpool dengan Leicester City di tempat sendiri, awal pagi esok.

Van Dijk telah memulakan kesemua 23 perlawanan liga untuk The Reds musim ini, memenangi Anugerah Pemain Terbaik EPL edisi Disember, namun masalah kesihatan mungkin menghalangnya daripada menyambut kunjungan The Foxes.

Bekas pertahanan tengah Southampton dan Celtic itu memainkan peranan penting dalam kempen menakjubkan Liverpool yang menyaksikan skuad kendalian Klopp itu berkelebihan empat mata daripada juara bertahan, Manchester City.

Begitupun, Liverpool mungkin turun tanpa pemain Belanda tersebut buat julung kalinya musim ini berikutan dia sedang berjuang untuk pulih daripada jangkitan virus.

Liverpool berdepan ujian getir di bahagian benteng untuk menghadapi Leicester, dengan Joe Gomez masih dalam proses pemulihan ekoran patah kaki sementara Trent Alexander-Arnold mengalami kecederaan lutut.

James Milner pula dibuang padang dalam kemenangan 4-3 ke atas Crystal Palace di Anfield sebelum ini, manakala pilihan lain, Fabinho, turut berada dalam keraguan.

Bagaimanapun, Dejan Lovren mungkin kembali untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Van Dijk setelah pertahanan kelahiran Crotia itu pulih daripada kecederaan hamstring.

"Virgil tidak berapa sihat tetapi masih berlatih semalam (Isnin) -- jadi kita akan lihat nanti," kata Klopp kepada wartawan.

"Dejan dalam keadaan baik, Georginio Wijnaldum dan Fabinho pula akan berlatih hari ini (Selasa). Trent semakin hampir untuk pulih, ia kelihatan sangat positif tetapi dia belum bersedia."

Dengan Liverpool sudah tersingkir daripada Piala FA, Klopp mengambil kesempatan itu dengan membawa skuadnya berehat di Dubai.

"Adalah sesuatu yang bagus kami dapat melakukannya dan biasanya kami tidak membincangkan sebarang perlawanan pada masa itu.

"Biasanya, jika kami dapat mengadakan satu perlawanan di sana, ia sudah cukup baik kerana kami berdepan kesukaran untuk menurunkan kesebelasan terbaik berikutan beberapa pemain tidak dapat turun berlatih sejak beberapa hari lalu," katanya.

"Tetapi itu sesuatu yang bagus. Kami tidak perlu beraksi dalam kejuaraan utama memandangkan ramai pemain bergelut untuk beraksi.

"Kami ke Dubai selama beberapa hari dan kami perlu membuktikan bahawa ia langkah yang berkesan. Apapun, Leicester dalam situasi yang hampir serupa, jadi itu bukan satu kelebihan besar.

"Mereka mungkin berkesempatan untuk mempertaruhkan khidmat (Harry) Maguire kerana saya dikhabarkan dia ditimpa kecederaan dalam perlawanan terakhir, jadi kami mempunyai tempoh beberapa hari lagi untuk menantikan pemain yang tercedera sebelum membuat percaturan."