Virgil Van Dijk merupakan kunci utama Liverpool mengatasi Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kata Ruud Gullit.

Bintang Belanda, Van Dijk, menjadi aspirasi utama buat The Reds sejak menyertai Liverpool daripada Southampton menerusi yuran perpindahan berjumlah GBP75 juta (RM404 juta) pada Januari 2018.

Dia membantu Liverpool mencipta kejayaan di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu dan kelabnya kini di puncak Liga Perdana Inggeris, 25 mata mengatasi City tatkala bek tengah itu beraksi dalam kesemua 26 perlawanan.

Rakan senegaranya, Gullit, ketika bercakap menjelang Anugerah Sukan Dunia Laureus, percaya corak permainan Van Dijk menjadi kunci utama sambil City bergelut untuk mencari bek tengah berwibawa.

"Untuk menang, semua pasukan terbaik perlukan pertahanan yang bagus," katanya.

"Di Barcelona, mereka memiliki benteng ampuh sewaktu dibintangi Carles Puyol.

"Jika anda tidak memilikinya, anda mampu menyerang tetapi sentiasa dibolosi banyak gol.

"Pep Guardiola membeli empat orang bek tengah tetapi tidak mampu melakukannya. Faktor kecederaan juga membuatkan nasibnya tidak baik tetapi ia adalah satu faktor kestabilan untuk mempunyai pemain-pemain pertahanan yang mampu melaksanakan apa yang anda perlukan.

"Banyak pasukan tidak dapat bertahan dengan baik. Dengan Van Dijk, masalah itu telah diselesaikan."

Gullit menambah: "Van Dijk merupakan contoh bahawa apa yang saya katakan di Belanda itu benar. Jika saya katakan anda perlu belajar untuk bertahan, orang ramai akan mempersoalkannya.

"Namun, itu adalah permulaannya. Kini, mereka katakan ia adalah benar dan anda boleh meraih kejayaan jika memiliki pertahanan yang bagus.

"Dan apa yang bagus adalah dia bermain untuk Belanda."

Liverpool bakal bertandang ke Atletico Madrid awal pagi esok bagi menghadapi aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas menewaskan Norwich City di tempat lawan, hujung minggu lalu.


Editor: Nafis Abdullah