Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berharap bintang pertahanannya, Virgil van Dijk, dapat mengekalkan prestasi terbaik seperti yang dipamerkannya ketika menentang Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.

Van Dijk menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool selepas jarinan pendahuluan Mohamed Salah dalam separuh masa pertama menjamin penguasaan The Reds menjelang perayaan Krismas.

Pertahanan tengah Belanda itu merupakan tonggak utama pasukan yang tidak pernah tewas dalam sebarang perlawanan liga musim ini.

Klopp berharap Van Dijk dapat mengekalkan prestasi itu.

"Saya tidak kisah untuk memuji pemain secara individu.

"Van Dijk berada dalam prestasi terbaik.

"Dia merupakan tonggak penting buat kami.

"Saya berharap dia dapat mengekalkan prestasi itu.

"Corak permainan yang dipamerkannya amat luar biasa.

"Saya sukakan pemain seperti itu.

"Namun, dua pemain di depannya (Fabinho dan Jordan Henderson) juga menguasai perlawanan dengan baik.

"Dejan (Lovren) juga begitu, tidak beraksi baik sewaktu perlawanan pra-musim, namun semakin berkembang dalam setiap perlawanan.

"Tanpa mereka, kami tidak akan berjaya.

"Kami layak untuk memenangi perlawanan dan Virgil melakukannya dengan baik," katanya.

Liverpool kini berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City, yang akan menanti kunjungan Crystal Palace, malam ini.