Bekas pemain Manchester United, Edwin Van Der Sar, mahu kelab lamanya itu memenuhi tuntutan penyokong agar kembali ke corak permainan yang dinginkan mereka bagi musim 2018/19.

Bekas penjaga gol berusia 47 tahun itu menjelaskan bahawa pasukan lamanya itu perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pemain baru jika mahu mengejar prestasi yang ditampilkan seteru utama, Manchester City, sambil berpendapat pengurus, Jose Mourinho, perlu mengubah pendekatan yang digunakan bagi mencapai kejayaan seperti masa lalu.

Konsep yang dipamerkan Mourinho bagi musim 2017/18 menerima kritikan ramai selepas dilihat berlawanan dengan corak permainan menyerang dan dinamik ketika era Sir Alex Ferguson, yang turut menyaksikan Van Der Sar meraih empat kejuaraan liga serta setiap satu bagi Liga Juara-Juara Eropah, Piala Liga, Piala Perisai Komuniti dan Piala Dunia Kelab.

"Sudah pasti terdapat beberapa corak permainan yang anda mahukan tetapi ia bergantung kepada pengurus pasukan," kata Van Der Sar.

"Saya rasa peminat juga inginkan bola sepak yang lebih menarik dan diharapkan pemain yang baru menyertai pasukan mampu memberikan kejayaan buat United," katanya.

United menamatkan kempen 2017/18 di tangga kedua, ketinggalan 19 mata di belakang City yang muncul juara dan Van Der Sar menyifatkan cabaran sudah wujud sejak dia meninggalkan pasukan itu pada 2011.

"Mungkin ia lebih sukar kerana kini wang menjadi faktor dalam permainan.

"Pasukan lain juga terus berkembang. Mungkin kelab yang mewah mengeluarkan wang yang lebih banyak ke dalam skuad.

"Saya berharap United mampu memenuhinya. Mereka muncul naib juara liga dan tewas dalam final Piala FA. Tahun ini, mereka memerlukan dua atau tiga pemain baru untuk menyamai prestasi yang ditunjukkan City," ujarnya lagi.